BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Openg menghadiri Majlis Pecah Tanah Loji Methanol Hijau di Petchem Sarawak di sini semalam.
Hadir sama adalah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi Sarawak Petchem Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain serta kenamaan lain.
Ketika berucap di majlis berkenaan, Abang Johari berkata Syarikat Petchem berhasrat menjadi pemimpin dalam peralihan tenaga hijau dan mempeloposi industri aeroangkasa.
“Jika kita berjaya dalam mengeluarkan methanol hijau dan pelbagai lagi tenaga hijau, ini mampu menjadi bahan mentah bagi industri aeroangkasa.
“Dalam industri baharu aeroangkasa, kita mesti ada sinergi yang hubung kait dengan apa yang kita keluarkan dengan proses petrokimia,” katanya.
Beliau menambah lagi, pengeluaran methanol hijau oleh Sarawak Petchem bakal meletakkan Sarawak sebagai wilayah yang komited kepada mengurangkan pelepasan karbon.
Jelas Abang Johari, Petchem Sarawak melancar projek kedua iaitu methanol hijau yang sejajar dengan peralihan kepada tenaga hijau.
“Pengeluaran methanol hijau oleh Sarawak pada masa akan datang mampu menjadi tenaga untuk kapal.
“Ini akan meletakkan Sarawak sebagai wilayah yang komited kepada mengurangkan pelepasan karbon,” jelasnya.
Terdahulu, Abang Johari bersama rombongan juga telah menyaksikan acara ‘Sail Away of Sarawak Petchem’s Methanol Export Cargo’ yang mana dua kapal yang membawa sebanyak 20,000 tan metrik methanol menuju ke China.
Dalam majlis sama, beliau juga menyampaikan sijil pencapaian 25 Juta Jam Kerja Selamat Tanpa Kecederaan Masa Kerugian kepada beberapa syarikat.